Mereka yang dilahirkan sebelum tahun 1960an sudah tentu akan ingat terhadap panggilan 'Tuan Dressar' bila mereka ke klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan.
Di awal tahun Malaysia (Malaya ketika itu) baru mengecapi kemerdekaan, kekurangan doktor terutama dari golongan anak watan memang begitu ketara sekali.
Bagi masyarakat ketika itu, mereka mengalami suatu peralihan di mana pada zaman dahulu mereka bergantung kepada bomoh untuk mengubat pelbagai 'sakit pening' yang dialami.
Tetapi arus kemerdekaan turut mengubah persepsi masyarakat zaman itu terhadap bidang perubatan dan anjakan ini membawa mereka mendapatkan rawatan di institusi 'rumah sakit' iaitu panggilan lama bagi hospital.
Mengikut catatan arkib perkembangan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia, profesion 'dressar' ini telah wujud hampir dua abad lalu di negara ini.
Pada awalnya ia dikenali sebagai 'apothecaries' yang diperkenalkan oleh pentadbiran British di Pulau Pinang pada tahun 1823.
Di Britain, apothecaries adalah mereka yang menyediakan, menjual dan memberi ubat-ubatan. Kerjaya ini kemudian menjadi 'Sub-Assistant Surgeon' di zaman kolonial dan kemudian dipanggil 'dressar' oleh komuniti Melayu ketika itu.
Panggilan ini terbit daripada perkataan Bahasa Inggeris 'dresser' iaitu merujuk kepada pembantu jurubedah yang membalut luka pesakit.
Transformasi kepada penolong pegawai perubatan
Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan menjadi sebuah negara berdaulat yang dinamakan Malaya, pihak Kementerian Kesihatan memberikan beberapa transformasi terhadap kerjaya ini.
Pada tahun 1963, 'dressar' dikenali sebagai pembantu rumah sakit. Tujuh tahun kemudian, nama jawatan ini ditukar kepada pembantu hospital dan selanjutnya sebagai pembantu perubatan pada tahun 1985.
Kini sejak tahun 2007, ia dikenali sebagai penolong pegawai perubatan atau PPP.
Menurut Kementerian Kesihatan, fungsi penolong pegawai perubatan adalah memberi perkhidmatan penjagaan kuratif, promotif, pencegahan dan rehabilitatif kepada setiap lapisan masyarakat.
PPP memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan komuniti terutama dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan asas dan rawatan kecemasan .
"Mereka sebenarnya sebahagian daripada golongan profesional penjagaan kesihatan yang menjalankan kerja administratif dan klinikal bagi membantu tugas doktor perubatan dan kakitangan penjagaan kesihatan yang lain.
Masyarakat tidak pernah lupa pada jasa "Tuan Dressar" dan kini PPP memainkan peranan serba boleh setiap hari di mana profesion itu telah berkembang dengan rancak dan merupakan kerjaya penting bagi dunia kesihatan bersekutu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan